19 Mei 2022

PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN SELEPAS TAWAF WADA’


PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN SELEPAS TAWAF WADA’
Soalan

Adakah Tawaf Wada’ wajib dan apakah perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada’?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan hal ini dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ
Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”
Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: Hadis ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)
Hadis di atas menunjukkan Tawaf Wada` hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadis ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan “الأمر المطلق” menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni’ oleh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqithi, 13/127)
Dalam hadis yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”
Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070)
Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)
Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’, 8/254)
Imam al-Zarkasyi berkata: Larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya (ضده). Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah sebelum tawaf wada` ialah melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421)
Imam al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadis di atas berkata: “Perkataan Baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke akhirnya, ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada’. (Lihat Nail al-Autar, 5/106)
Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada', Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada’, iaitu:
Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’
  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.
Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)
  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada’.
Semoga pencerahan ini dapat merungkai pelbagai isu berkaitan Tawaf Wada’, apa yang boleh dan apa yang tidak dibolehkan.
  • Bayan Li Al-Haj Rujukkan : https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/bayan-li-al-haj/2747-bayan-li-al-haj-siri-ke-37-perkara-yang-boleh-dilakukan-selepas-tawaf-wada more Infor : https://t.me/tiramtravel

15 Mei 2022

UMRAH 2022 / 2023 TIRAM TRAVEL SDN BHD

TIRAM TRAVEL SDN BHD
HOTLINE : 1700828188
Join telegram channel for latest update https://t.me/tiramtravel









 



DOWNLOAD